Hey Mac.
Apa yang terjadi, ke mana penulis menghilangkan diri. Mengapa pula mahu menukar URL blog? Saya tidak menukar URL blog tetapi sudah membangunkan blog lain, blog baru. Apakah URL itu? Biarlah Google secara semulajadi mengindekskan kewujudannya. Semoga penulisannya menghasilkan manfaat kepada orang lain.
Baiklah. Apa cerita terbaru?
Saya sudah selesai membaca dua buah buku di bawah ini. Alhamdulillah, saya berjaya mewujudkan waktu bagi membaca di samping tugasan yang banyak.


Kedua-dua buku ini berbeza genre. Saya menikmati kedua-duanya. Alhamdulillah.
Alhamdulillah juga, saya mendapat ruang bagi menonton filem epik arahan Yusry KRU, Hikayat Merong Mahawangsa. Saya enggan peduli kepada kritikan yang katanya membina, bagi mengucapkan tahniah kepada KRU kerana berusaha.

Kemudian saya sibuk bersama tesis. Memenuhi permintaan penyelia yang memohon kemas kini pada bahagian tertentu. ALLAH Maha Mengetahui apa yang saya kerjakan. Semoga ALLAH mempermudahkan urusan kami. Amin.
Selain itu, editor juga mengirimkan emel bagi saya memperkemaskan lagi manuskrip terdahulu. Saya juga sedang menulis manuskrip terbaru serta menterjemah sebuah buku. Justeru, begitulah kesibukan yang saya alami. Dan saya menikmatinya.
Abaikan sebarang gangguan jiwa ke atas hati, bagi menerimanya sebagai praktikal menguatkan hati. Saya fikir, itulah ruang dan peluang yang ALLAH beri, kepada sekeping hati milik saya.
Saya mencatat melalui Facebook,
Saya sedang memikirkan perihal peluang dalam ruang, juga ruang dalam peluang. Perjalanan diteruskan dan peluang hadir menerusi sepupu seagama di stesen tren. Kemudian, hadir pula ruang menerusi novel yang saya tekuni. Sungguhlah, ALLAH Maha Mengetahui.
Sekian, salam rindu.