Menarik nafas dalam-dalam dan cermat.
Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Surah. Al Baqarah:216)
Mengamati tafsiran ayat dari surah Al Baqarah, ayat 216.
Pada orang lain, apa yang sedang saya lalui sekarang ini hanyalah perkara biasa-biasa. Bagi saya pula, setiap perkara itu punya perincian tersendiri. Perkara-perkara yang menagih ruang sendiri sebenarnya wajar saya renungi. Jika saya mengambilnya sebagai kebiasaan dalam kehidupan, rugilah saya. Rugilah kerana tidak menikmati kejadian yang berlaku dalam kehidupan.
Menyeka air mata.
Saya bukan menyeka air mata kerana sedih. Ada rasa halus yang menjalar dalam hati dan emosi. ALLAH Maha Mengetahui, apa rasanya.
Selagi nyawa masih dikandung badan, jari akan terus menari, perjuangan diteruskan, syahid ku buru, dan berpegang pada janjiku.
Seperti terngiang-ngiang kalimah-kalimah manis itu, buat azimat, berpadu jadi nadi, mengalir dalam darah, janjiku untukNya. Entahkan mampu saya menunaikannya. Namun, saya tidak mahu mengalah dan terus berusaha.
Menyeka baki air mata.
Menikmati kehidupan dan merenungi kejadian.
Terasa mahu meluahkan segalanya lewat tarian jari jemari ini. Mungkin, inilah tempatku, sejak dari dulu lagi. Apa yang terjadi, hanya menyokong teori ini. Siapa yang tahu?
Mungkin, apa yang terjadi, hanya menyokong tingkah laku supaya gagah menyanjung janji pada tempatnya.
Mungkin, apa yang terjadi, belum pernah juga kita fahami langsung.
Tiada air mata yang gugur lagi.
Memandang kehidupan sebagai satu pentas. Kita semua adalah pelakonnya. Maka, kita semua berlakon. Ingatlah, ALLAH Maha Mengetahui.
Betapa dahsyatnya emosi. Meliuk-liuk mohon dimanjai. Saya engkar menurutinya, seperti biasa. Kerana saya pernah merasai tenang yang dalam dan tidak berpenghujung, masih merasainya saat ini dan mahu terus merasainya.
Malam ini, saya menulis satu lagi keputusan besar, seperti yang pernah saya lakukan setahun yang lalu.
Alhamdulillah.
PS : Kita boleh memilih, bunyi apa yang kita mahu dengari. Doa saya, yang muluk-muluk untuk kalian. Amin!
No comments:
Post a Comment