Hari ini saya mahu bercerita mengenai dua selebriti Korea yang saya minat : Eun Ji Won dan MC Mong.
Kebetulan pula, kedua mereka adalah rapper di Korea. Sebenarnya, saya bukan meminati genre muzik mereka, namun mula meminati mereka dalam rancangan 2D1N (2 Days 1 Night).
Berkaca mata : Eun Ji Won. Berbasikal : MC Mong
Pertama : Saya bukan mengagungkan Korea-wave dan seangkatan dengannya. Saya hanya manusia biasa yang meminati sesuatu dan pada waktu yang sama, seantero dunia sedang demam perkara yang serupa. Walhal, saya mulai meminati Korea, pada ketika Jang Nara mulai popular di Malaysia. Sudah cukup lama.
Saya juga, bukan penggemar Korea-idol, namun tidak pula membenci mereka. :) Just a fair and square situation.
Dalam rancangan 2D1N ini, saya mulai suka pada karakter ceria Eun Ji Won. Sungguh seronok saat saya memikirkan beliau selaku seorang selebriti, melakukan perkara yang beliau gemar, menjadi dirinya dan terus menggembirakan ramai orang. Ji Won pada usia mudanya (kini beliau berusia 33 tahun), merupakan ketua kumpulan SechSkies (pronounce Jekki) - pelopor kumpulan idol di Korea. Barangkali jika saya sudah mengenali Korea waktu itu, saya tidak meminati karakter Ji Won - idol.
Dikhabarkan selepas beberapa tahun, SechSkies sudah dibubarkan, Ji Won mula menghasilkan album solo dan fokus kepada genre hip hop. Bukan genre itu yang mahu saya beri perhatian, namun keputusan fokus kepada perkara yang beliau suka, tekun dan gigih. Kini, beliau terkenal sebagai salah seorang rapper Korea.
Saya tidak kisah jika ada yang mengatakan, karakter keanak-anakan itu menjelikkan. Bagi saya, saya sudah berjumpa dengan ramai orang dewasa yang masih mempunyai jalur ceria kanak-kanak pada diri mereka. Mereka merupakan manusia gembira, menggembirakan dan berjaya dalam kehidupan. Saya terkenang pada pensyarah Biologi saya lama dahulu. Comel, kreatif dan menunggang motosikal ke dewan kuliah walaupun rumahnya dekat sahaja. 5-star! Benar, manusia yang meletakkan syarat tertentu untuk bahagia dan dewasa. Jika kita menghadkan definisi dewasa itu adalah dunia tanpa keceriaan kanak-kanak, maka itulah definisi kita sepanjang kehidupan.
Eun Ji Won juga seorang yang bersahaja dalam 2D1N. Jika beliau mahu makan, beliau makan bersungguh-sungguh. Jika beliau mahu tidur, beliau berdengkur, tidak kisah status selebritinya. Jika beliau mahu ketawa, sampai berguling beliau bergelak tawa. Barangkali ada berpendapat watak sebegini pada akhirnya cepat dilupai orang. Itu bukannya apa-apa, kelak selepas kita mati, hanya nisan yang kita tinggalkan di bumi ini. Penting Ji Won menjalani kehidupan dengan penuh rasa bahagia dan gembira.
Paling menyeronokkan mengenai Ji Won adalah mimik muka Dooly-nya. Foto di atas menunjukkan mimik muka Dooly. Dooly merupakan karakter kartun. Saya fikir, selepas kita memasuki alam dewasa, bilakah kali terakhir kita sanggup membuat wajah Dooly dan menceriakan orang lain? Saya sering melakukannya pada anak-anak saudara saya. Hal begini, saya tidak merasakan wajah saya kelakar. Namun, rasa gembira pula melihat orang tertawa. Hal begini, barangkali sukar dijelaskan atau difahami...
Can I have Dooly as my close friend. That will be more than enough.
Cukup sampai di sini mengenai Ji Won. Saya mahu bercerita perihal MC Mong.
MC Mong juga merupakan salah seorang selebriti dalam rancangan 2D1N. MC Mong merupakan pemegang karakter super-gila-gila, aktif, hyperaktif, honest dan berbakat. Kisah kerjaya MC Mong sungguh menginspirasikan. Saya menonton dan membaca banyak kisah mengenai MC Mong - seperti yang dilaporkan di internet. Kemunculan pertama beliau dalam industri kurang diberi perhatian.
Selepas beliau muncul dengan album solo, beliau perlahan-lahan membina kejayaan. Saya percaya itu tidak dilakukan dengan mudah. Pernah dalam satu episod, album keempat MC Mong yang baru dilancarkan seminggu, memenangi tempat pertama Music Bank pada minggu seterusnya. Saya tidak mengikuti Music Bank, justeru tidak tahu apa-apa mengenainya.
Hanya, saya memfokus kepada reaksi dan riak wajah MC Mong pada saat itu. Umpama tidak percaya! Kemudian MC Mong melarikan dirinya, jauh dari krew, menitiskan air mata. Kata beliau, album itu mengambil masa 1 tahun 7 bulan bagi disiapkan.
Saya percaya, itu merupakan kerja keras. Dan saya percaya, MC Mong (kini berdepan situasi sukar) melakukan perkara yang beliau suka - genre hip hop. Bayangkan jika MC Mong mengikut pandangan orang mengenai dirinya, dan tidak menghasilkan music dalam genre ini, berjayakah beliau? Saya ingat lagi kata-kata MC Mong kepada kumpulan anak didiknya, Dalmatian. Kata MC Mong, beliau tidak mahu anak didiknya mengikuti genre beliau. Pilih genre mereka sendiri dan beliau akan berada di sisi mereka, membantu mereka membina kerjaya.
Kedua-dua artis ini, membuat saya sedar banyak perkara. Termasuk perkara yang tidak saya sedari selama ini. Semua pengalaman beberapa tahun ini, saya sematkan sebagai motivasi bagi meneruskan perjuangan. Berjuang mengenai perkara yang saya yakin ia penting, mahu berkongsi mengenainya kepada pembaca! Saya adalah seorang penulis, menulis bagi tujuan menghibur. Ya, baru saya sedar saya sudah melakukannya sejak berusia 7 tahun - persembahan Que Sera Sera. :)
Ada yang gelak sini, saat saya melahirkan impian mahu menulis buku, dan menghadiahkannya kepada beberapa orang yang menginspirasikan saya. Kesemua mereka berada di Korea : Kang Ho-dong, MC Mong, Kim C, Kim Jong-Min, Eun Ji Won, Lee Su-geun. Saya juga ada beberapa nama selebriti dari Malaysia yang mahu saya hadiahkan buku-buku tulisan saya. Biarlah ia dirahsiakan buat waktu ini. Kedua-duanya merupakan comedian.
Pendek kata, saya meminati Eun Ji Won dan MC Mong kerana diri mereka. Jika boleh, mahu mereka menjadi jiran saya. Haha!
Akhirnya, saya berdoa ALLAH mengurniakan hidayah kepada mereka berdua. Amin.
Panjang meleret pula artikel tanpa perancangan ini. Jumpa lagi!



No comments:
Post a Comment